WE ARE BROTHERS

Isnin, 27 Julai 2009

SELAMAT TINGGAL SAUDARIKU. MOGA ROHMU SEKELUARGA AMAN DI SANA...

...Assalamualaikum wbt...

Salam penuh ingatan buat teman-teman yang senantiasa diingati...

Semalam 26 Julai 2009 pastinya memahat satu lagi memori sayu yang pasti takkan luput dalam ingatan kita semua. Pemergian sahabat yang sangat kiti kasihi, saudari Fatmawati binti Harun. Sesungguhnya Allah swt lebih menyayangi beliau berbanding kita.

Turut terkorban di dalam kemalangan penuh tragis itu adalah suami, anaknda beliau yang baru berusia 10 bulan, bondanya dan juga adik bongsunya.

Hampir semua akhbar-akhbar ditanah air menerbitkan berita mengenai kemalangan ngeri ini. Di bawah ini disertakan keratan-keratan akhbar mengenai kemalangan yang menimpa arwah.

Pilu dan sedih, bagi sahabat yang telah sekian lama 'terputus' hubungan lantaran kesibukan masing-masing dalam memenuhi komitmen hidup masing-masing.


Kereta Perodua Kenari Arwah Hancur Lunyai Diseret Treler



PETIKAN DARI SINAR HARIAN ONLINE
Lima sekeluarga maut dirempuh lori

MARAN - Lima sekeluarga, termasuk seorang bayi lelaki berusia 10 bulan, yang baru pulang dari makan tengah hari di sebuah kedai makan di bandar ini menemui ajal apabila kereta yang mereka naiki dirempuh sebuah lori kontena di Jalan Maran-Kuantan semalam.

Tragedi pada 1.30 tengah hari itu berlaku setelah lori yang membawa muatan tong gas kosong yang dalam perjalanan dari sini ke stesen Petronas di Kuantan secara tiba-tiba terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh Perodua Kenari yang dinaiki keluarga dari Felda Jengka 5 itu.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin berkata, akibat rempuhan kuat terbabit, kereta yang dipandu oleh Nasarudin Abd Aziz, 33, yang merupakan pembantu rendah Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Purun, Triang dekat sini diseret sejauh 80 meter dan remuk teruk.

Katanya, turut maut di tempat kejadian adalah isteri Nasarudin, Fatmawati Harun, 30, seorang guru di Sekolah Kebangsaan Purun, Triang yang mengandung tiga bulan, ibu Fatmawati, Sepiah Mohamad, 60, adik bongsu Fatmawati, Mohd Syakirin, 23, dan anak pasangan suami isteri itu, Muhammad Nazhif, 10 bulan.

“Kesemua mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di seluruh anggota badan manakala pemandu lori berusia 39 tahun patah kaki dan kelindannya berusia 17 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Ahmad Johari berkata, mayat sekeluarga berkenaan dihantar ke Hospital Jengka untuk dibeda:h siasat manakala pemandu lori dan kelindannya dibawa ke Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh untuk menerima rawatan lanjut.

Sementara itu, abang sulung Fatmawati, Alias Harun, 43, yang ditemui di pekarangan rumah mayat Hospital Jengka petang ini, berkata dia menerima panggilan telefon daripada bapa tirinya, Wan Jaafar Wan Jusoh mengenai kejadian tersebut pada pukul 2 petang.

Katanya, kali terakhir dia berbual dengan adik perempuannya itu ialah pada pukul 5 pagi tadi iaitu sebelum dia keluar bertugas di Balai Polis Bera.

“Arwah sekeluarga tinggal di Purun manakala saya tinggal di Bera jadi cuti hujung minggu kami selalunya balik ke rumah mak di Felda Jengka 5 yang tinggal bersama adik bongsu, Mohd Syakirin yang lembam dan tidak bekerja,” katanya.

Alias berkata, ibunya sekeluarga makan tengah hari di luar kerana adiknya tidak larat memasak kerana mengandung.

Katanya, kesemua mayat akan dikebumikan malam ini di Tanah Perkuburan Felda Jengka 5 sebaik sahaja selesai urusan bedah siasat. - Bernama



BERITA HARIAN ONLINE
'Allahyarham Fatmawati sedang mengandung anak kedua'

MARAN: "Saya sedih dan terkejut apabila mendapat tahu kemalangan yang menimpa ahli keluarga malah adik saya (Fatmawati) kini sedang mengandung anak kedua," kata abang sulung Fatmawati, Alias Harun, 43.

Beliau berkata, kali terakhir dia berbual dengan Fatmawati yang juga anak kelima dari tujuh beradik itu kira-kira jam 5 pagi semalam ketika mahu pergi bekerja di Balai Polis Bera, namun tidak melihat sebarang pelakuan aneh adik dan ibunya, Sepiah Mohamad, 60, yang turut terkorban.

"Arwah, suami serta anaknya tinggal di Purun, Triang manakala saya tinggal di Bera dan setiap hujung minggu kami sering pulang ke Jengka untuk bertemu dan melihat ibu dan adik bongsu, Mohd Syakirin yang lembam dan tidak bekerja berikutan adik beradik yang lain bekerja dan tinggal di luar Pahang.

"Malah malam semalam (kelmarin) ketika berbual, saya dimaklumkan arwah dia sedang mengandung dan saya sekeluarga sungguh gembira mendengar berita terbabit.

"Tiada apa perubahan pada arwah cuma dia memaklumkan agak penat kerana mengandung," katanya ketika ditemui di perkarangan rumah mayat Hospital Bandar Jengka, di sini, semalam.

Alias berkata, ibu dan adik keluar ke bandar Maran untuk makan tengah hari.


SINAR HARIAN ONLINE
Kemalangan paling ngeri depan mata: Kasturi

MARAN – Kejadian lori kontena yang membawa tong gas kosong merempuh sebuah kereta jenis Kenari selepas terbabas berhadapan Kompleks Rakan Muda Maran di sini, menjadi pengalaman ngeri buat saksi kejadian.

Saksi, Kasturi Ali, 42, berkata, walau pun pernah menyaksikan beberapa kejadian maut sebelum ini namun kejadian yang meragut lima beranak itu adalah yang paling menakutkan dan sedikit trauma.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, darah berderau apabila melihat lima tubuh manusia kaku dalam keadaan mengerikan termasuk tersepit di celah badan kereta yang remuk sama sekali.

“Sungguh terkejut dan terasa saya seolah-olah berada di tempat mangsa, cebisan daging antaranya otak mangsa, cukup ngeri dan pasti akan teringat sampai bila-bila.

“Saya kesal dengan apa yang berlaku terutama sikap pemandu yang dikatakan memandu secara laju ketika menuruni jalan sehingga lima nyawa hilang dalam sekelip mata,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Saksi, Azmi Mohamad, 42, berkata, kejadian itu adalah yang kedua berlaku sepanjang tahun ini di tempat yang sama dengan keadaan lori yang terbalik akibat terbabas.

Menurutnya, dia merasai sendiri kengerian ketika menolong mangsa kemalangan dan juga mengutip cebisan daging yang bersepai.

“Jika sesiapa yang menyaksikan kejadian itu pasti akan mengucap panjang dan merasai satu perasaan takut yang menyelubungi seluruh badan.

“Malah, saya juga menitis air mata kerana pemandangan ketika itu terlalu dahsyat dengan keadaan mayat yang mengerikan terutama mayat bayi itu yang pecah kepalanya sehingga menampakkan isi,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan