WE ARE BROTHERS

Rabu, 3 Mac 2010

KIPSAS TERIMA ZAKAT RM30,000 SUMBANGAN BIMB

KUANTAN : Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) menyerahkan wang zakat sebanyak RM30,000 kepada pengurusan Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) untuk diagihkan kepada pelajar kurang berkemampuan di kolej berkenaan.

Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Strategik BIMB, Datuk Wan Ismail Wan Yusof, berkata ia adalah sebahagian daripada zakat perniagaan tahun lalu yang berjumlah RM1.1 juta yang turut diagihkan kepada pelajar miskin dan anak yatim di institut pengajian tinggi (IPT) terpilih di seluruh negara.

Beliau berkata pihaknya bekerjasama dengan pengurusan IPT itu bagi membolehkan agihan wang berkenaan diserahkan kepada pelajar masing-masing.

Katanya, jumlah wang zakat yang diberikan itu bergantung kepada jumlah pelajar dan IPT layak menerima pengagihan wang zakat sehingga RM30,000 dan setiap pelajar masing-masing menerima antara RM500 hingga RM1,000.

"BIMB sentiasa memberi keutamaan dalam bidang pendidikan, kita akan memberi bantuan dan kemudahan yang sesuai kepada pelajar termasuk pusat pengajian tinggi tempatan."

"Kita ingin melihat lebih ramai pelajar Islam berjaya dalam bidang pelajaran, yang diharapkan akan menjadi kebanggaan negara," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan wang zakat itu kelmarin.

Turut hadir, Presiden KIPSAS, Datuk Hashim Abdul Wahab. Wan Ismail berkata, selain memberi bantuan kepada pelajar di IPT, pihaknya turut memberi sumbangan wang zakat kepada golongan miskin dan dhaif.

Sumber : BERITA HARIAN, Edisi Timur 04.03.2010

Jumaat, 31 Julai 2009

PERHATIAN!!!!!

assalamualaikum wbt...
PERHATIAN BUAT EX-KIPSAS...
MAJLIS RAMAH MESRA BERSAMA YAB MENTERI BESAR PAHANG DAN KONVOKESYEN KALI KE-9 KIPSAS TERPAKSA DIBATAL & DITANGGUHKAN ATAS KEBIMBANGAN MENULARNYA H1N1. TARIKH BARU UNTUK MAJLIS INI AKAN DIMAKLUMKAN KELAK.

HARAP MAKLUM.

Rabu, 29 Julai 2009

JEMPUTAN KE MAJLIS MB BERSAMA ALUMNI



...ASSALAMUALAIKUM WBT...
Makluman buat sahabat-sahabat bekas siswa-siswi KIPSAS (ex-KIPSAS), dengan segala hormatnya anda semua dijemput untuk hadir ke :


MAJLIS AMANAT & RAMAH MESRA

YAB MENTERI BESAR PAHANG
BERSAMA ALUMNI KIPSAS

Sempena Majlis Konvokesyen KIPSAS kali ke-9.

Tarikh
02 OGOS 2009 (AHAD)

2ptg - 5ptg

Tempat
KOMPLEKS DAGANGAN MAHKOTA,

INDERA MAHKOTA

TIADA BAYARAN DIKENAKAN
TETAPI TEMPAT ADALAH TERHAD!!!

SILA SAHKAN KEHADIRAN ANDA,

SMS ATAU HUBUNGI :


SETIAUSAHA ALUMNI

CIK NURULHUDA OTHMAN
013-9611 939


kita pasti akan ke sana jua...

YANG PERGI TETAP PERGI...

Assalamualaikum...

Walaupun ana baru sahaja 'upload' gambar ini dalam post ana yang terkini sebelum ini. Ada sesuatu yang menarik perhatian ana. Yang pasti, lintasan di hati ana ini hanyalah kebetulan yang telah ditentukan oleh Allah. Untuk menjelaskannya, ana edit dan crop untuk dapatkan gambar yang lebih baik dan besar.

Sebelum itu, ana perkenalkan setiap seorang individu dalam gambar ini. Berdiri dari kiri: arwah Kak Efarizan, Elmiah, Anisah, arwah Fatmawati, Ibrahim, ana dan Abang Zaid. Duduk dari kiri: Fatimah Zuriati, arwah Haslina, Asma Laili, Jamiatul Adawiyah, Afzanizam dan Rahman.

Kebetulannya di sini, 3 orang telahpun pergi menemui Allah. Kak Efarizan (kak efa) yang paling awal meninggal dunia ditakdirkan kerana barah. Diikuti oleh Haslina yang juga meninggal dunia juga ditakdirkan kerana barah. Terkini, Fatmawati yang telah 'pergi' ditakdirkan kemalangan.

Kalau tak silap ana, kumpulan2 orientasi lain tak seperti kumpulan ana. Batch 3 (kohort kami), kumpulan kamilah yang paling ramai lebih dahulu menemui Ilahi.

Yang pasti, segala2nya telah ditentukan oleh Allah. Persoalan bila, di mana, bagaimana dan bersama siapa juga telah ditentukan olehNYA. Tugas kita sebagai hamba hanyalah bersedia setiap masa dan ketika. Kerana apa?

1. Kerana ia pasti datang.
2. Kerana ia datang tanpa diundang.
3. Kerana ia datang pada bila2 masa sahaja.
4. Kerana ia berlaku di mana2 sahaja.
5. Kerana sekali ia datang, tiada tangguh, tiada dicepatkan.

Semoga menjadi iktibar buat semua. Ya Allah, rahmatilah roh Kak Efa, Haslina dan Fatmawati. Amin...

Wassalam.

AL-FATIHAH : TRIBUTE BUAT ARWAH FATMA

copy from http://ustatkimi.blogspot.com/
Assalamualaikum semua...

Dari Allah kita datang, kepadaNYA jua kita pasti kembali. Pada petang hari Ahad (26.7.09) baru2 ini, ana dikejutkan dengan panggilan dan sms daripada beberapa orang sahabat ex-KIPSAS (Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah). Berita tentang kemalangan yang berlaku di Maran, Pahang. Kemalangan maut itu melibatkan seorang sahabat ana, Fatmawati bt. Harun. Turut terkorban bersama2 arwah ialah, suami, anak, ibu dan adik beliau. Arwah juga mengandungkan anak kedua ketika itu.

Pada awalnya, berita tersebut ana sambut hanya dengan doa dan al-Fatihah buat arwah dan keluarganya. Perasaan ana bertukar sayu apabila membaca berita penuh dalam akhbar semalam. Tak terbayang dahsyatnya apabila seisi keluarga itu dirempuh sebuah lori treiler yang dipandu laju lalu hilang kawalan, mengheret lalu menghempas Perodua Kenari yang mereka naiki ke tebing bukit. Berita di akhbar2 lain juga turut menggambarkan kengerian di sekitar kawasan kemalangan. Antum boleh rujuk sendiri di akhbar2 tempatan. Lebih mengharukan hati ana apabila mengenangkan anak arwah yang baru sahaja berumur 3 bulan turut 'pergi' akibat kemalangan itu. Sebagai seorang ayah yang juga punya anak seusia itu, air mata ana tak tertahan lagi...

Secara peribadi, ana mengenali arwah seawal minggu pertama kami di KIPSAS. Kami diorientasi dalam kumpulan yang sama. Sama2 mempelajari kehidupan kampus, sama2 buat istana pasir, sama2 buat persembahan, sama2 makan dan minum ketika itu. Selesai orientasi, hubungan ana dan arwah tak serapat semasa kami orientasi. Tambahan pula di Tahun 2, arwah memilih untuk berada di Jabatan Bahasa Arab & Tamadun Islam manakala ana di Jabatan Syariah & Perbandingan (pasti sahabat2 di Jabatan Bahasa Arab & Tamadun Islam lebih rapat dan punya banyak kenangan bersama arwah). Begitupun, kelas kami hanya sebelah menyebelah. Sesekali bertembung dijalanan, ana tetap tegur arwah.

Arwah di mata ana seorang yang agak pendiam, mungkin pemalu, tak pernah ana dengar suaranya tinggi, sentiasa menjaga adab selaku muslimah, selalu tunduk tanda kesopanan dan tak pernah ana dengar cakap2 yang kurang baik tentang beliau. Ana respek penampilan beliau, bertudung labuh setiap masa. Setelah tamat pengajian di KIPSAS, ana hanya berkesempatan bertemu arwah (sekali) di UIA ketika arwah bergelut dengan masalah kewangan untuk menyambung pengajiannya di sana. Seterusnya, tiada lagi berita dari arwah. Ana tak pasti tentang perkahwinan arwah, samada ana terima jemputan daripada arwah mahupun tidak. Perkahwinan sahabat2 di sebelah Pahang sememangnya agak sukar untuk ana penuhi.

Apapun, ana doakan roh arwah dan keluarga diterima Allah dan ditempatkan bersama2 hamba2NYA yang beriman, di kalangan para syuhada' dan para solihin, bersama2 anbiya' dan Rasul2. Insya Allah. Fatmawati akan kekal dalam kenangan kami semua. 'Selamat jalan' sahabatku...

Al-Fatihah buat arwah sekeluarga...

Wassalam.



Keadaan tempat kejadian



Kereta arwah yang remuk,
bagaimana agaknya keadaan penumpang...



Kumpulan orientasi, arwah berdiri 4 dari kiri



Persembahan Malam Penghayatan, arwah yang ke-2 dari kiri

Isnin, 27 Julai 2009

SELAMAT TINGGAL SAUDARIKU. MOGA ROHMU SEKELUARGA AMAN DI SANA...

...Assalamualaikum wbt...

Salam penuh ingatan buat teman-teman yang senantiasa diingati...

Semalam 26 Julai 2009 pastinya memahat satu lagi memori sayu yang pasti takkan luput dalam ingatan kita semua. Pemergian sahabat yang sangat kiti kasihi, saudari Fatmawati binti Harun. Sesungguhnya Allah swt lebih menyayangi beliau berbanding kita.

Turut terkorban di dalam kemalangan penuh tragis itu adalah suami, anaknda beliau yang baru berusia 10 bulan, bondanya dan juga adik bongsunya.

Hampir semua akhbar-akhbar ditanah air menerbitkan berita mengenai kemalangan ngeri ini. Di bawah ini disertakan keratan-keratan akhbar mengenai kemalangan yang menimpa arwah.

Pilu dan sedih, bagi sahabat yang telah sekian lama 'terputus' hubungan lantaran kesibukan masing-masing dalam memenuhi komitmen hidup masing-masing.


Kereta Perodua Kenari Arwah Hancur Lunyai Diseret Treler



PETIKAN DARI SINAR HARIAN ONLINE
Lima sekeluarga maut dirempuh lori

MARAN - Lima sekeluarga, termasuk seorang bayi lelaki berusia 10 bulan, yang baru pulang dari makan tengah hari di sebuah kedai makan di bandar ini menemui ajal apabila kereta yang mereka naiki dirempuh sebuah lori kontena di Jalan Maran-Kuantan semalam.

Tragedi pada 1.30 tengah hari itu berlaku setelah lori yang membawa muatan tong gas kosong yang dalam perjalanan dari sini ke stesen Petronas di Kuantan secara tiba-tiba terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh Perodua Kenari yang dinaiki keluarga dari Felda Jengka 5 itu.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin berkata, akibat rempuhan kuat terbabit, kereta yang dipandu oleh Nasarudin Abd Aziz, 33, yang merupakan pembantu rendah Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Purun, Triang dekat sini diseret sejauh 80 meter dan remuk teruk.

Katanya, turut maut di tempat kejadian adalah isteri Nasarudin, Fatmawati Harun, 30, seorang guru di Sekolah Kebangsaan Purun, Triang yang mengandung tiga bulan, ibu Fatmawati, Sepiah Mohamad, 60, adik bongsu Fatmawati, Mohd Syakirin, 23, dan anak pasangan suami isteri itu, Muhammad Nazhif, 10 bulan.

“Kesemua mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di seluruh anggota badan manakala pemandu lori berusia 39 tahun patah kaki dan kelindannya berusia 17 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Ahmad Johari berkata, mayat sekeluarga berkenaan dihantar ke Hospital Jengka untuk dibeda:h siasat manakala pemandu lori dan kelindannya dibawa ke Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh untuk menerima rawatan lanjut.

Sementara itu, abang sulung Fatmawati, Alias Harun, 43, yang ditemui di pekarangan rumah mayat Hospital Jengka petang ini, berkata dia menerima panggilan telefon daripada bapa tirinya, Wan Jaafar Wan Jusoh mengenai kejadian tersebut pada pukul 2 petang.

Katanya, kali terakhir dia berbual dengan adik perempuannya itu ialah pada pukul 5 pagi tadi iaitu sebelum dia keluar bertugas di Balai Polis Bera.

“Arwah sekeluarga tinggal di Purun manakala saya tinggal di Bera jadi cuti hujung minggu kami selalunya balik ke rumah mak di Felda Jengka 5 yang tinggal bersama adik bongsu, Mohd Syakirin yang lembam dan tidak bekerja,” katanya.

Alias berkata, ibunya sekeluarga makan tengah hari di luar kerana adiknya tidak larat memasak kerana mengandung.

Katanya, kesemua mayat akan dikebumikan malam ini di Tanah Perkuburan Felda Jengka 5 sebaik sahaja selesai urusan bedah siasat. - Bernama



BERITA HARIAN ONLINE
'Allahyarham Fatmawati sedang mengandung anak kedua'

MARAN: "Saya sedih dan terkejut apabila mendapat tahu kemalangan yang menimpa ahli keluarga malah adik saya (Fatmawati) kini sedang mengandung anak kedua," kata abang sulung Fatmawati, Alias Harun, 43.

Beliau berkata, kali terakhir dia berbual dengan Fatmawati yang juga anak kelima dari tujuh beradik itu kira-kira jam 5 pagi semalam ketika mahu pergi bekerja di Balai Polis Bera, namun tidak melihat sebarang pelakuan aneh adik dan ibunya, Sepiah Mohamad, 60, yang turut terkorban.

"Arwah, suami serta anaknya tinggal di Purun, Triang manakala saya tinggal di Bera dan setiap hujung minggu kami sering pulang ke Jengka untuk bertemu dan melihat ibu dan adik bongsu, Mohd Syakirin yang lembam dan tidak bekerja berikutan adik beradik yang lain bekerja dan tinggal di luar Pahang.

"Malah malam semalam (kelmarin) ketika berbual, saya dimaklumkan arwah dia sedang mengandung dan saya sekeluarga sungguh gembira mendengar berita terbabit.

"Tiada apa perubahan pada arwah cuma dia memaklumkan agak penat kerana mengandung," katanya ketika ditemui di perkarangan rumah mayat Hospital Bandar Jengka, di sini, semalam.

Alias berkata, ibu dan adik keluar ke bandar Maran untuk makan tengah hari.


SINAR HARIAN ONLINE
Kemalangan paling ngeri depan mata: Kasturi

MARAN – Kejadian lori kontena yang membawa tong gas kosong merempuh sebuah kereta jenis Kenari selepas terbabas berhadapan Kompleks Rakan Muda Maran di sini, menjadi pengalaman ngeri buat saksi kejadian.

Saksi, Kasturi Ali, 42, berkata, walau pun pernah menyaksikan beberapa kejadian maut sebelum ini namun kejadian yang meragut lima beranak itu adalah yang paling menakutkan dan sedikit trauma.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, darah berderau apabila melihat lima tubuh manusia kaku dalam keadaan mengerikan termasuk tersepit di celah badan kereta yang remuk sama sekali.

“Sungguh terkejut dan terasa saya seolah-olah berada di tempat mangsa, cebisan daging antaranya otak mangsa, cukup ngeri dan pasti akan teringat sampai bila-bila.

“Saya kesal dengan apa yang berlaku terutama sikap pemandu yang dikatakan memandu secara laju ketika menuruni jalan sehingga lima nyawa hilang dalam sekelip mata,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Saksi, Azmi Mohamad, 42, berkata, kejadian itu adalah yang kedua berlaku sepanjang tahun ini di tempat yang sama dengan keadaan lori yang terbalik akibat terbabas.

Menurutnya, dia merasai sendiri kengerian ketika menolong mangsa kemalangan dan juga mengutip cebisan daging yang bersepai.

“Jika sesiapa yang menyaksikan kejadian itu pasti akan mengucap panjang dan merasai satu perasaan takut yang menyelubungi seluruh badan.

“Malah, saya juga menitis air mata kerana pemandangan ketika itu terlalu dahsyat dengan keadaan mayat yang mengerikan terutama mayat bayi itu yang pecah kepalanya sehingga menampakkan isi,” katanya.